Thursday, December 07, 2006

How the 1100 is being marketed? (2)


Pasaran saham dijangka terus meningkat

www.utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Dis. – Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, momentum meningkat Bursa Malaysia dijangka berterusan dalam jangka terdekat berikutan minat memberangsangkan yang diperlihatkan oleh pelabur-pelabur asing. Beliau berkata, minat pelabur yang semakin meningkat ini adalah berlandaskan aliran ekonomi Malaysia yang mengukuh dalam beberapa bulan kebelakangan ini. “Keadaan di bursa begitu kukuh dan paras indeks telah mencapai tahap yang menggembirakan iaitu 1,100. “Pelabur luar berpendapat mereka dapat memperoleh keuntungan daripada pelaburan mereka di sini,” katanya selepas merasmikan Bengkel Bantuan Teknikal Inisiatif Pasaran Bon Asia (ABMI) di sini hari ini. Katanya, ini adalah satu tanda keyakinan pelabur-pelabur asing terhadap Malaysia. Dalam sesi petang Bursa Malaysia, Indeks Komposit (IK) ditutup 0.09 mata lebih rendah kepada 1,098.26. Semalam IK meningkat 9.39 mata kepada 1,098.35 mata dengan jumlah dagangan yang tinggi dalam sejarah berjumlah 2.19 bilion saham bernilai RM2.80 bilion. Menyentuh tentang kadar pertumbuhan ekonomi negara, Nor Mohamed berkata, selain daripada kemasukan modal pelabur-pelabur asing, keadaan ekonomi negara beberapa bulan ini kukuh dan momentum kekukuhan ini dijangka berterusan. “Mungkin kita boleh mencapai kadar yang melebihi 5.8 peratus kerana pertumbuhan ekonomi begitu kukuh dalam semua sektor terutamanya sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian,” ujar beliau. Nor Mohamed berkata, sektor pembinaan yang mengalami kelembapan beberapa tahun kebelakangan ini, turut dijangka mencatatkan pertumbuhan yang positif pada tahun depan. “Saya yakin berasaskan kepada kemasukan pelaburan luar dan keyakinan pelabur tempatan dalam pasaran kita serta fundamental di bursa kita, momentum kekukuhan ekonomi kita akan kekal,” katanya. Beliau menambah kata, bahawa kekukuhan ini dijangka turut menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan yang diramalkan mencapai pertumbuhan sebanyak enam peratus.

No comments: